Secara amnya adalah bahan makanan (sayuran, buah-buahan dan haiwan ternakan) yang dihasilkan tanpa penggunaan baja kimia sintetik, racun serangga, sisa perkumuhan manusia, sisa pembentungan, sinaran radiasi, bahan tambahan makanan, antibiotik, hormon pertumbuhan dan ubah suai genetik moden.
Bagi sayuran dan buah-buahan, tanah untuk tanaman adalah mesti bebas daripada penggunaan baja kimia atau racun serangga sekurang-kurangnya 3 tahun. Cara penanamannya adalah berunsurkan konsep semula jadi, termasuk membajak secara tradisional, menggunakan baja semulajadi dan ditanam di tanah yang subur.
Manakala bagi haiwan ternakan organik, is diberi makanan organik dan tidak diberi suntikan ubat antibiotik atau hormon pertumbuhan. Hasil daripada haiwan organik seperti daging, telur ayam adalah dikelaskan kepada produk organik.
Kebaikan Makanan Organik
- mengurangkan pendedahan kepada racun serangga, hormon dan antibiotik.
- tidak mencemarkan alam sekitar kerana tiada penggunaan bahan kimia.
- nilai nutrisi yang tinggi.
- kualiti makanan yang lebih tinggi.
- memupuk diet dan pemakanan yang sihat.
- pelihara alam sekitar dan bumi (dapat menahan lebih banyak karbon di dalam tanah dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke atmosfera).
- menggunakan tenaga yang kurang (tiada penggunaan baja nitrogen).
- tiada toksin (tidak menggunakan bahan kimia dan racun serangga).
Pembezaan Makanan Organik dan Bukan Organik
Makanan organik diproses secara amnya hanya mengandungi bahan/ramuan organik dan tidak mempunyai sebarang bahan tambahan makanan. Tetapi disebabkan proses pengeluaran makanan yang kompleks dalam kebanyakan makanan telah meyebabkan terdapatnya campuran minimum ramuan yang bukan organik. Oleh itu, pada pelabelannya, ia dikelaskan sebagai 90% atau 95% organik.
Untuk membezakan makanan organik nak bukan organik, cara yang paling senang adalah dengan melihat label. Kebanyakan makanan organik yang berada dipasaran sekarang adalah dibungkus secara berasingan dan dilabelkan. Skim Organik Malaysia (Malaysian Organic Scheme) ialah satu program pensijilan kepada petani yang menguruskan ladang pertanian mereka dengan mematuhi syarat-syarat di bawah National Organic Standart MS 1529:2001. Piawai ini mempunyai garis panduan mengenai penghasilan, pembungkusan, pengangkutan dan penjualan yang berkaitan dengan makanan organik. Produk-produk dari ladang ladang organik yang bersijil boleh dilabelkan sebagai organik dengan menggunakan Logo Organik Malaysia.
{sumber : Buletin Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Mei 2008}
Tiada ulasan:
Catat Ulasan